Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat kes ibu rantai anak enggan ke sekolah
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 12:20 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Polis akan menyiasat kes seorang murid perempuan berusia 8 tahun yang dijumpai dalam keadaan kakinya dirantai di sebuah taman permainan di Bandar Sunway, Petaling Jaya, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, kejadian berlaku kira-kira jam 6.35 petang semalam apabila orang ramai memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak perempuan India telah dirantai kakinya.

"Pusat Kawalan Daerah (DCC) Subang Jaya telah mengarahkan unit rondaan bermotosikal ke lokasi Taman permainan Jln PJS 9/1 Lagoon Perdana, Bandar Sunway.

"Setibanya di lokasi dapati kanak-kanak perempuan ini dikerumuni oleh orang ramai di Lagoon Perdana dalam keadaan kaki dirantai," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini yang disiarkan di Facebook polis Subang Jaya.

Mohammad Azlin berkata, 10 minit kemudian ibunya yang dihubungi sampai dan mengaku merantai anaknya kerana pelajar tahun dua dari sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina tersebut selalu enggan ke sekolah. 

“Pihak polis telah meminta kunci dari ibu mangsa dan membuka rantai besi pada kaki anaknya.

“Seterusnya ibu mangsa dan anaknya telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk disoal siasat. Kes masih dalam siasatan polis,” katanya.

Sementara itu, akhbar, The Star memetik Mohammad Azlin, sebagai berkata bahawa ibu kanak-kanak berkenaan telah dibebaskan.

Polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.

Gambar kaki kanak-kanak itu dirantai kini viral di laman sosial.

Ini menimbulkan kemarahan warga maya yang menyelar tindakan berkenaan dan mempersoalkan mengapa si ibu tergamak bertindak sedemikian terhadap anak kandungnya sendiri.

Lihat Komen
ADS