malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tun Salleh Abas pulang ke rahmatullah
Diterbitkan:  Jan 16, 2021 8:46 AM
Dikemaskini: 4:22 AM
ADS

Bekas ketua hakim negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas pulang ke rahmatullah hari ini dalam usia 91 tahun.

Allahyarham meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dinihari tadi.

Anak allahyarham, Ahmad Johari Salleh memaklumkan hal ini pada hantaran di media sosial.

"Dengan amat dukacita, ayahanda kami, Tun Mohamed Salleh  Abas telah kembali ke rahmatullah pada pukul 3:20 pagi Sabtu 16 Januari 2021.

"Semoga Allah mengampuninya dan meletakkan ruhnya di kalangan orang-orang yang beriman. Moga Allah kurniakannya jannatul firdaus,," katanya.

Seorang lagi anak Allahyarham, Natlrah ketika dihubungi Bernama mengesahkan Salleh, meninggal dunia akibat pneumonia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus, mengesahkan berita dukacita tersebut.

Sebelum ini Mohamed Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad mendapat rawatan di ICU selepas disahkan positif Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad Abdul Aziz Peru Mohamed memaklumkan hal itu pada 14 Jan lalu.

Salleh pernah bertugas sebagai pendakwaraya, dilantik sebagai hakim pada 1984 dan menjadi presiden Mahkamah Persekutuan yang terakhir pada 1988.

Pada tahun sama, ketika era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, jawatan presiden mahkamah tertinggi negara itu ditukar dan digantikan namanya menjadi ketua hakim negara.

Salleh disingkir sebagai ketua hakim negara oleh tribunal yang dibentuk selepas peristiwa pengharaman Umno pada 1988.

Sebagai pendakwa raya, Salleh terkenal dalam pendakwaan terhadap Sultan Iskandar Ismail pada tahun 1973 ketika seri paduka baginda menjadi putera mahkota.

Salleh turut menceburi bidang politik juga. Pada 1995, sebagai calon Semangat 46, dia bertanding kerusi parlimen Lembah Pantai, tetapi tewas kepada Shahrizat Abdul Jalil.

Pada tahun 1999, Salleh berjaya menang kerusi DUN Jertih sebagai calon PAS.

Salleh berasal dari Besut, Terengganu.

Lihat Komen