fbpx
Now Reading
Ingatkan Berdoa, Rupanya Main ‘Mobile Legends’

Ingatkan Berdoa, Rupanya Main ‘Mobile Legends’

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Berbaju Melayu putih lengkap bersampin dan bersongkok, seorang pengantin lelaki dirakamkan aksinya duduk bersila dan menundukkan kepala sambil ‘menadah tangan’ pada hari pernikahan.

Bagaimanapun, gambar tersebut yang menunjukkan pengantin asyik bermain permainan mudah alih popular, ‘Mobile Legends’ mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Ia mula tular pada Rabu selepas dimuat naik seorang jurugambar di Facebook ‘Rudy Aqsara’.

Pengantin lelaki, Mohamad Hafizzul Hilmi Abdul Ali, 28, berkata, gambar tersebut dirakamkan secara kandid sebelum akad nikah berlangsung di Masjid Kampung Telok Kitang di Pengkalan Chepa, Kelantan pada 17 Mac lalu.

Mengakui dirinya adalah pengikut tegar permainan mudah alih, pemuda yang berasal Tumpat, Kelantan itu menjelaskan perbuatan tersebut bukan disengajakan.

“Rasa gementar pada hari nak nikah. Tapi ada ‘masalah’ yang tidak disengajakan membuatkan tok kadi tiba lewat ke masjid.

“Sementara menunggu tu saya bukalah sekejap ‘Mobile Legends’. Bila dah lama menunggu kira-kira dua jam, perasaan gementar tu dah hilang,” katanya kepada mStar Online.

Selepas hampir setahun menyulam cinta, Mohamad Hafizzul disatukan dengan Fatin Fatihah Shamsuddin, 28, sebagai suami isteri dengan sekali lafaz.

Haffizul dan isterinya

Mohamad Hafizzul yang mengusahakan restoran di Kota Bharu berkata, minatnya terhadap permainan video telah lama diketahui isterinya sejak di awal perkenalan.

“Gambar yang tular membuatkan saya ‘kantoi’ dengan isteri yang menyangka saya sedang berdoa ketika itu. Tapi dia taklah marah pun,” katanya.

Bagaimanapun Mohamad Hafizzul memohon maaf sekiranya tindakan bermain permainan mudah alih di dalam masjid dianggap tidak menghormati rumah ibadat selain mengundang rasa kurang senang masyarakat.

“Saya minta maaf dan saya berharap anda semua mendoakan kebahagiaan kami berdua,” katanya sambil menambah belum berkesempatan untuk berbulan madu tetapi mengimpikan destinasi percutian di pulau dan tanah tinggi.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi ‘rahsia’ bahawa dirinya tidak lagi bermain permainan popular itu sejak hari pernikahan walaupun sebelum ini dia adalah ‘kaki game’.

“Bukan isteri melarang atau saya hendak berhenti bermain, tapi lepas kahwin saya agak sibuk dengan kerja selain tumpukan lebih banyak masa bersama isteri.

“Isteri pun selalu habiskan masa dengan telefon sebab dia menjual produk dalam talian. Kalau saya suka main ‘game’, isteri pula suka ‘selfie’ (swafoto),” katanya secara berseloroh.

Sumber : Mstar

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.