Ada risiko OPR dipotong dalam tempoh 6 bulan ini | DagangNews Skip to main content

Ada risiko OPR dipotong dalam tempoh 6 bulan ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Firma penyelidik tidak menolak kemungkinan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) setakat 1.75% akan berubah dalam tempoh enam bulan pertama 2021 ini. 

 

Risiko OPR diturunkan sebanyak 25 mata asas (bps) lagi akan tercetus sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan bagi jangka masa yang panjang, ramal CGS-CIMB Research. 

 

“Kami menjangkakan potongan 25 bps akan merendahkan unjuran keuntungan bersih bank-bank bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sekitar 2.2%. 

 

“Oleh itu, potongan 25 bps akan menurunkan lagi unjuran pertumbuhan keuntungan bank pada 2021 daripada 19% kepada 17.2%, berdasarkan jangkaan potongan OPR menjelang Mac 2021 (perjumpaan BNM pada 4 Mac),” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, BNM mengekalkan OPR pada kadar 1.75% pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC). 

 

Ini sejajar dengan ramalan yang dibuat kebanyakan firma penyelidik di mana BNM dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat. 

 

CGS-CIMB positif terhadap keputusan itu memandangkan sebarang potongan lanjut akan memberi kesan kepada margin faedah bersih (NIM) serta keuntungan bersih bank. 

 

Firma penyelidik itu menjangkakan pemotongan 25 bps OPR akan memberi impak besar ke atas BIMB Holdings Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad memandangkan kedua-duanya sensitif terhadap pergerakan kadar itu. 

 

Senada itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid yang berkongsi di laman Twitter miliknya menjelaskan terdapat prospek OPR untuk diturunkan. 

 

Ujarnya, BNM sedang memerhati situasi ekonomi semasa terutamanya setelah PKP yang hampir meliputi seluruh Malaysia dilaksanakan. 

 

“Kegiatan ekonomi akan ada banyak batasannya. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mungkin lebih perlahan daripada jangkaan awal.

 

“Kalau jadi (OPR diturunkan), ini peluang bagi kita untuk menilai kedudukan hutang kita. Nak buat pembiayaan semulakah, nak beli rumahkah. Tapi kena tepuk dada tanya iman. Kalau tidak ada keperluan, kekalkan sahaja,” kongsinya. 

 

MIDF Research sebaliknya melihat tiada keperluan untuk menurunkan lagi OPR kerana jumlah pemotongan sebanyak 125 bps pada tahun lalu akan terus menyokong ekonomi negara. 

 

Jelas firma penyelidik itu, pendekatan yang lebih bersasar diperlukan untuk membantu mereka yang terjejas akibat pelaksanaan PKP 2.0. 

 

“Pakej rangsangan fiskal, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan baru-baru ini akan memberi impak segera kepada ekonomi memandangkan perubahan dasar monetari biasanya akan mengambil tempoh beberapa bulan untuk memberi kesan ke atas ekonomi. 

 

“Seterusnya, kami menjangkakan pentadbiran vaksin akan melonjakkan sentimen dan menyokong ekonomi untuk melonjak semula, kembali kepada pertumbuhan positif pada tahun ini. 

 

“Dengan pertumbuhan ekonomi dijangka berlaku pada hujung tahun ini dan trend inflasi lebih tinggi, kami menjangkakan BNM akan mula meningkatkan OPR kepada paras normal seawal suku akhir tahun ini,” tambah MIDF lagi. - DagangNews.com