Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tekad Indonesia lawan COVID-19 belum luntur meski kurang bekalan oksigen, katil rumah sakit

Sedang Indonesia bergelut dengan penularan COVID-19 yang terus mengganas, penulis meninjau bagaimana negara itu, yang hanya setahun lalu kelihatan seolah-olah berhasil mengatasi penularan koronavirus, kini berdepan dengan jumlah jangkitan dan angka korban harian yang tertinggi di dunia. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Tekad Indonesia lawan COVID-19 belum luntur meski kurang bekalan oksigen, katil rumah sakit

Para pekerja mengebumikan pesakit yang maut akibat COVID-19 di Jakarta, Indonesia pada 23 Jul 2021. (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan)

BERITAmediacorp: Sedang Indonesia bergelut dengan penularan COVID-19 yang terus mengganas, penulis meninjau bagaimana negara itu, yang hanya setahun lalu kelihatan seolah-olah berhasil mengatasi penularan koronavirus, kini berdepan dengan jumlah jangkitan dan angka korban harian yang tertinggi di dunia.

Rakyat Indonesia, terutama yang membanting tulang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan, terus menderita akibat sekatan-sekatan darurat yang bertujuan untuk membendung penularan COVID-19.

Pesakit-pesakit yang sukar bernafas di luar wad kecemasan sebuah hospital kendalian pemerintah di Jakarta pada 1 Jul 2021. (Gambar: Reuters/Yuddy Cahya Budiman)

Pesakit-pesakit yang sukar bernafas di luar wad kecemasan sebuah hospital kendalian pemerintah di Jakarta pada 1 Jul 2021. (Gambar: Reuters/Yuddy Cahya Budiman)

Meskipun sekatan-sekatan darurat dikuatkuasakan, rumah sakit masih kekurangan katil. Hospital-hospital dilaporkan tidak lagi berdaya merawat sesetengah pesakit COVID-19 yang akhirnya terpaksa mengasingkan diri di rumah.

Sementara itu, para pekerja bebas terus menanggung padah akibat sekatan-sekatan yang berlarutan.

Indonesia kini mencatat jumlah kes harian dan angka korban COVID-19 yang tertinggi di dunia. Para pakar menyuarakan keprihatinan terhadap kesan jangka panjang ke atas negara itu jika pandemik ini dibiarkan berlarutan.

Setakat sehingga Ahad (1 Ogos), Indonesia sudah mencatat lebih 3.4 juta kes COVID-19 dan lebih 94,000 orang tewas kepada koronavirus itu.

MUDIK LEBARAN CETUSKAN GELOMBANG KEDUA

Menjelang Lebaran pada Mei tahun ini, pemerintah Indonesia mengumumkan larangan bagi mencegah perjalanan rentas wilayah dari 6 Mei hingga 17 Mei untuk menyekat orang ramai daripada mudik ke kampung halaman sempena sambutan akhir Ramadan.

Orang ramai beratur panjang di Stesen Kereta Api Senen di Jakarta pada 4 Mei 2021 untuk menjalani ujian pantas COVID-19 sebelum mudik ke kampung halaman. (Gambar: Nivell Rayda)

Orang ramai beratur panjang di Stesen Kereta Api Senen di Jakarta pada 4 Mei 2021 untuk menjalani ujian pantas COVID-19 sebelum mudik ke kampung halaman. (Gambar: Nivell Rayda)

Sungguhpun demikian, larangan itu tidak berhasil membendung pergerakan para penduduk. Sesetengah penduduk malah melakukan perjalanan sebelum tanggal 6 Mei atau selepas 6 Mei dan ada juga yang mengambil kesempatan daripada kelemahan pada langkah-langkah penguatkuasaan untuk terus bermudik sepanjang tempoh larangan perjalanan.

Kegiatan ekonomi juga rancak menjelang Lebaran, dengan ramai penduduk yang berbelanja di pasar sebagai persiapan untuk menyambut Aidilfitri.

Pada 12 Mei, sehari sebelum Aidilfitri, Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin mengumumkan bahawa vaksin buatan Sinovac, yang membentuk vaksin utama bagi program vaksinasi negara itu, 98 peratus berkesan dalam mencegah kematian dan 96 peratus berkesan bagi mengelak rawatan di hospital.

Presiden Joko Widodo menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 buatan Sinovac setelah Indonesia meluluskannya bagi kegunaan darurat. (Gambar: Istana Presiden Indonesia/AP)

Presiden Joko Widodo menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 buatan Sinovac setelah Indonesia meluluskannya bagi kegunaan darurat. (Gambar: Istana Presiden Indonesia/AP)

Hasil tinjauan itu adalah berdasarkan data yang melibatkan sekitar 120,000 petugas perubatan di Jakarta yang divaksin antara Januari hingga Mac.

Beberapa hari selepas Lebaran, hospital-hospital sementara di Jakarta mencatatkan jumlah pesakit terendah sejak hospital-hospital sedemikian dibangunkan, iaitu pada kadar 16.22 peratus.

Sungguhpun demikian, pemerintah menjangkakan lonjakan kes COVID-19, seperti yang berlaku semasa cuti libur Lebaran tahun lalu menyebabkan jangkitan bertambah 60 hingga 70 peratus.

Lantaran itu pemerintah menambah lagi sehingga 72,000 katil pengasingan, termasuk 20,000 yang sudahpun dipenuhi sebelum cuti libur Lebaran.

Sekurang-kurangnya 7,500 katil unit jagaan rapi (ICU) ditambah, termasuk sekitar 2,000 katil yang diisi sebelum Aidilfitri.

VARIAN DELTA MEMBURUKKAN LAGI KEADAAN

Pertambahan kes menyusuli Aidilfitri tahun ini melonjak jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu dengan beberapa wilayah mencatatkan peningkatan lebih 200 peratus.

Menteri Penyelaras Bidang Maritim dan Pelaburan Luhut Pandjaitan mengakui pada 1 Julai bahawa pemerintah Indonesia tidak menjangkakan lonjakan kes yang begitu tinggi.

Dr Masdalina Pane, ketua Jabatan Pembangunan Profesional di Perhimpunan Ahli Epidemiologi Indonesia (PAEI) yang juga anggota pasukan bertindak negara bagi COVID-19 berkata 92 peratus daripada kes-kes COVID-19 di Indonesia terjangkit varian Delta.

Kakitangan perubatan merawat pesakit COVID-19 di dalam khemah di luar sebuah hospital di Bogor, Indonesia. (Gambar: AFP/Aditya Aji)

Kakitangan perubatan merawat pesakit COVID-19 di dalam khemah di luar sebuah hospital di Bogor, Indonesia. (Gambar: AFP/Aditya Aji)

Dr Pane dan pakar epidemiologi di Universiti Airlangga Surabaya, Atik Choirul Hidajah berpandangan bahawa keadaan diburukkan lagi oleh rejim ujian dan pengesanan kontak yang lemah.

KEKURANGAN KATIL HOSPITAL, BEKALAN OKSIGEN

Dengan jumlah kes baru melepasi 25,000 pesakit pada kebanyakan hari, pemerintah memutuskan untuk melaksanakan sekatan-sekatan darurat yang lebih meluas dari 3 Julai hingga 25 Julai di Pulau Jawa, yang mempunyai paling ramai penduduk dan Bali.

Di bawah Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat yang kemudian dinamakan PPKM Level (Peringkat) 4, pergerakan penduduk dibataskan mengikut sektor pekerjaan masing-masing, iaitu sektor non-esensial (tidak penting), esensial (penting) dan kritikal.

Pekerja-pekerja memesongkan pesakit di khemah kecemasan yang didirikan untuk merawat pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia pada 28 Jun 2021. (Gambar: AP/Achmad Ibrahim)

Pekerja-pekerja memindahkan pesakit di khemah kecemasan yang didirikan untuk merawat pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia pada 28 Jun 2021. (Gambar: AP/Achmad Ibrahim)

Encik Pandjaitan, yang dilantik oleh Presiden Joko Widodo sebagai penyelaras PPKM Darurat di Jawa dan Bali, berkata sekatan-sekatan itu perlu dikuatkuasakan kerana negara itu mengalami lonjakan kes COVID-19 kira-kira 230 peratus sejak hujung bulan Mei.

PPKM kemudian diperluaskan untuk merangkumi 15 lagi wilayah di sekeliling Jawa dan Bali.

Menjelang awal Julai, hospital-hospital di Indonesia hampir penuh, dedah Dr Lia Partakusuma, setiausaha agung Perhimpunan Rumah Sakit Seluruh Indonesia (PERSI) pada 5 Julai semasa Rapat Dengar Pendapat Umum di Dewan Perwakilan Rakyat.

Sedang pemerintah mendirikan hospital-hospital sementara dan menambah katil di rumah sakit, ia juga melancarkan khidmat teleperubatan percuma di Jakarta bagi para pesakit yang mengalami gejala tidak teruk untuk memastikan mereka terus dirawat ketika mengasingkan diri di rumah. Mereka yang menjalani telekonsultasi juga menerima ubat-ubatan secara percuma.

Meskipun pemerintah memberi jaminan pada 25 Jun bahawa bekalan oksigen cukup bagi pulau Jawa, berpuluh-puluh pesakit dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Yogyakarta pada awal Julai akibat kekurangan bekalan oksigen.

Orang ramai beratur untuk mengisi tangki oksigen di Jakarta, Indonesia pada 5 Jul 2021. (Gambar: AP/Dita Alangkara)

Orang ramai beratur untuk mengisi tangki oksigen di Jakarta, Indonesia pada 5 Jul 2021. (Gambar: AP/Dita Alangkara)

Encik Pandjaitan berkata semasa sidang media pada 5 Julai bahawa pengagihan oksigen tidak dapat memenuhi permintaan yang melambung tiga hingga empat kali lipat. Beliau menggesa para pengilang oksigen supaya menyalurkan segala bekalan mereka bagi memenuhi keperluan perubatan.

Di merata Jawa dan Bali, para penduduk beratur panjang di pusat-pusat isi ulang oksigen, sedang orang ramai cuba memperolehi oksigen bagi orang-orang tersayang yang diuji positif COVID-19.

Sebilangan daripada mereka perlu membeli oksigen untuk anggota-anggota keluarga yang sedang mengasingkan diri di rumah. Ada pula yang perlu memperolehi oksigen bagi orang-orang tersayang yang dirawat di hospital yang sudah kehabisan bekalan oksigen.

Sejauh ini, Indonesia sudah menerima alat-alat pemekat oksigen dari Singapura, Korea Selatan, India dan Switzerland. Di bawah program “Oxygen Shuttle”, Singapura akan mengirim penghantaran oksigen secara tetap kepada Indonesia atas permintaan negara itu. Lebih 500 tan oksigen dihantar ke Indonesia dari 19 Julai hingga Ogos.

Sungguhpun langkah-langkah tersebut dilaksanakan, permintaan oksigen masih tinggi, lebih-lebih lagi ketika ramai pesakit COVID-19 sedang mengasingkan diri di rumah.

Tangki cecair oksigen tiba di Pangkalan Tentera Laut Changi untuk dihantar ke Indonesia oleh Angkatan Laut Republik Singapura pada 11 Jul 2021. (Gambar: Kementerian Pertahanan)

Tangki cecair oksigen tiba di Pangkalan Tentera Laut Changi untuk dihantar ke Indonesia oleh Angkatan Laut Republik Singapura pada 11 Jul 2021. (Gambar: Kementerian Pertahanan)

Tanpa akses segera kepada khidmat jagaan dan pemantauan kesihatan yang baik, sebilangan pesakit dilaporkan tenat di rumah ketika mengasingkan diri, menurut pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah.

Kementerian Kesihatan Indonesia bagaimanapun tidak menyediakan data tentang jumlah pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di rumah. Ketua pencegahan dan kawalan penyakit di agensi kesihatan Jakarta Dr Dwi Oktavia mendedahkan bahawa sejak hujung Jun, ibu kota itu mengebumikan sekitar 300 mayat mengikut protokol COVID-19 setiap hari.

Perangkaan itu termasuk 30 hingga 40 pesakit yang meninggal dunia di rumah setiap hari. Agensi tersebut mencatatkan 1,284 kematian di rumah setakat ini.

Sinta, 32 tahun, dan adik-beradiknya menggunakan plastik untuk membalut jenazah ibu mereka yang maut akibat komplikasi COVID-19 di Bogor, Indonesia pada 11 Jul 2021. (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan) 

Sinta, 32 tahun, dan adik-beradiknya menggunakan plastik untuk membalut jenazah ibu mereka yang maut akibat komplikasi COVID-19 di Bogor, Indonesia pada 11 Jul 2021. (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan) 

Sementara itu, pemerintah Indonesia sedang berusaha menangani kekurangan pekerja jagaan kesihatan. Pihak-pihak berwenang sedang mencuba untuk merekrut sekitar 3,000 doktor dan 16,000 hingga 20,000 jururawat dengan mengenal pasti mereka yang baru saja tamat pengajian atau sedang menjalani semester terakhir.

Untuk mencegah jangkitan COVID-19 dalam kalangan kakitangan khidmat jagaan kesihatan, pemerintah Indonesia memvaksin mereka dengan suntikan vaksin perangsang buatan Moderna.

PENIAGA KECIL-KECILAN MENDERITA

Pandemik COVID-19 ini turut mencetuskan krisis ekonomi yang tidak pernah disaksikan dalam lebih dua dekad.

Setakat sehingga Ogos 2020, 29.12 juta atau 14.28 peratus tenaga kerja Indonesia terjejas oleh pandemik. Kebanyakan pekerja dikurangkan waktu bertugas atau gaji, atau kehilangan mata pencarian sama sekali.

Apabila ekonomi pulih sedikit, jumlah pekerja yang terjejas merosot kepada 19.1 juta atau 9.3 peratus tenaga kerja Indonesia pada Februari tahun ini.

Sekitar 8.75 juta pemohon kerja dicatatkan pada Februari, naik 26.26 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, menurut Badan Pusat Statistik.

Para penduduk Jakarta beratur untuk menerima pek-pek bantuan daripada Presiden Joko Widodo pada 16 Jul 2021. (Gambar: Reuters/WIlly Kurniawan)

Penduduk-penduduk Jakarta beratur untuk menerima pek-pek bantuan daripada Presiden Joko Widodo pada 16 Jul 2021. (Gambar: Reuters/WIlly Kurniawan)

Indonesia juga kehilangan statusnya sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi pada bulan ini, hanya setahun selepas ia memperolehi status itu. Bank Dunia menurunkan status Indonesia sebagai negara bependapatan sederhana lebih rendah pada awal Julai, dengan pendapatan negara kasar per kapita sebanyak S$5,241, turun daripada S$5,485 sebelum ini.

Meskipun keadaan ekonomi merudum, ahli ekonomi Sri Adiningsih dari Universiti Gadjah Mada berpendapat bahawa Indonesia sudah melepasi fasa kemelesetan yang terburuk.

Sekalipun begitu, beliau menarik perhatian kepada kesan sosial yang ketara ke atas kehidupan rakyat dan lantaran itu pemerintah perlu menyediakan insentif-insentif ketika menguatkuasakan sekatan-sekatan lebih ketat itu, lebih-lebih lagi bagi para peniaga kecil-kecilan.

Beliau menambah, 98 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana terdiri daripada perniagaan kecil-kecilan. Hampir 90 peratus daripada pekerja di perusahaan mikro, kecil dan sederhana digajikan oleh peniagaan kecil-kecilan.

Pada Ahad (25 Jul), Presiden Joko Widodo mengatakan sekatan-sekatan sekarang akan berkuat kuasa hingga 2 Ogos, namun beberapa penyesuaian bagi kegiatan masyarakat dan pergerakan akan dilakukan.

Pasar-pasar yang menjual barang-barang keperluan harian boleh dibuka seperti biasa manakala pasar-pasar yang menjual barangan lain boleh dibuka dengan had kapasiti 50 peratus sehingga 3.00 petang.

Para pengunjung berbeli-belah di sebuah pasar di Jakarta, Indonesia pada 26 Jul 2021 menyusuli pelonggaran sekatan darurat. (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan)

Para pengunjung berbeli-belah di sebuah pasar di Jakarta, Indonesia pada 26 Jul 2021 menyusuli pelonggaran sekatan darurat. (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan)

Para penjaja jalanan, kedai runcit, kedai baucar telefon bimbit, kedai gunting, kedai dobi layan diri, pegerai, bengkel kereta, tempat mencuci kereta dan para peniaga kecil-kecilan yang lain dibenarkan berniaga sehingga 9.00 malam.

Bantuan akan dihulurkan kepada perusahaan mikro dan kecil di mana lagi 3 juta orang akan menerima 1.2 juta rupiah (S$112.55) setiap seorang.

Pemerintah juga akan menyediakan insentif kewangan dengan menanggung Cukai Nilai Tambah (VAT) bagi sewa di pusat beli-belah antara Jun hingga Ogos 2021.

USAHA DIPERGIAT

Di tengah-tengah keadaan yang sangat mencabar sekarang, pemerintah Indonesia mengesa rakyatnya supaya terus bersikap optimis.

Bagi membendung COVID-19, pemerintah Indonesia memperhalusi proses ujian, penjejakan kontak dan rawatan pesakit COVID-19 di Jawa dan Bali sejak 26 Julai.

Sasarannya adalah untuk mengenal pasti sekurang-kurangnya lapan kontak rapat bagi setiap pesakit dengan mengoptimumkan penjejakan digital.

Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin berkata pada awal Julai bahawa Indonesia akan meningkatkan ujian dan usaha pengesanan kontak sebanyak tiga kali ganda berbanding kadar sekarang sehingga berupaya melakukan 400,000 ujian setiap hari. Namun sekatat hujung bulan Julai, hanya sekitar 100,000 hingga 200,000 kes dapat diuji dalam sehari.

Selain itu, pemerintah merancang untuk mendirikan kemudahan-kemudahan kuarantin bersasar untuk memantau keadaan para pesakit.

Pemerintah juga sedang berusaha menambah kapasiti ICU dengan membekalkan oksigen kepada wilayah-wilayah yang berdepan dengan kadar kematian yang tinggi bagi mengurangkan bilangan kematian.

Pekerja perubatan disuntik vaksin COVID-19 buatan Sinovac dalam gerabak di stesen kereta api Jakarta Kota, Indonesia pada 28 Jul 2021. (Gambar: AP/Tatan Syuflana)

Pekerja perubatan disuntik vaksin COVID-19 buatan Sinovac dalam gerabak di stesen kereta api Jakarta Kota, Indonesia pada 28 Jul 2021. (Gambar: AP/Tatan Syuflana)

Sementara itu, Presiden Jokowi sedang merancakkan lagi program vaksinasi di merata negaranya.

Jumlah penduduk yang disasarkan di bawah program vaksinasi Indonesia diperluaskan kepada 208 juta penduduk memandangkan golongan remaja kini dibenarkan mendapatkan suntikan vaksin Sinovac. Sasaran Presiden Jokowi adalah dua juta dos vaksin diberikan setiap hari pada Ogos.

Sejauh ini, sekitar 7.5 peratus penduduk Indonesia sudah menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19.

Presiden Jokowi juga menaruh harapan agar 7.5 juta daripada 10.5 juta penduduk Jakarta dapat divaksin selewat-lewatnya pada hujung Ogos untuk mencapai imuniti kelompok di ibu kota itu.

BEBAN HUTANG NEGARA

Meskipun pemerintah Indonesia sedang berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan, pakar dasar awam Agus Pambiago dari kumpulan pemikir PH & H Public Policy Interest Group menegaskan bahawa dasar-dasar yang dilaksanakan sepatutnya dinyatakan dengan jelas.

Ambulans membawa pesakit COVID-19 menerusi sekatan jalan raya di Depok, di luar Jakarta, Indonesia pada 13 Jul 2021. (Reuters/Ajeng Dinar Ulfiana)

Ambulans membawa pesakit COVID-19 menerusi sekatan jalan raya di Depok, di luar Jakarta, Indonesia pada 13 Jul 2021. (Reuters/Ajeng Dinar Ulfiana)

Encik Agus berkata, perbezaan yang kurang jelas antara dasar-dasar seperti Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB), PPKM dan peringkat-peringkat berlainan di bawah PPKM mengelirukan bukan saja orang awam, tetapi juga pihak-pihak berwenang seperti polis, tentera dan para pegawai penguat kuasa awam yang lain. Lama-kelamaan, kata Encik Agus, orang ramai semakin mengambil sikap sambil lewa.

Sementara itu, Profesor Madya Sosiologi Sulfikar Amir dari Universiti Teknologi Nanyang berkata Indonesia tidak mempunyai rangka kerja pengurusan pandemik yang tetap. Lantaran itu, Profesor Madya Sulfikar berpendapat, pemerintah sekadar menghasilkan istilah-istilah dasar baru setiap kali berdepan dengan perkembangan baru.

Dalam keadaan sekarang ini, Prof Madya Amir percaya bahawa cabaran sosio-ekonomi tidak begitu membimbangkan berbanding situasi jagaan kesihatan.

Menurut beliau, kesihatan awam Indonesia akan terus terjejas oleh kesan-kesan COVID-19 dalam jangka panjang.

Pada masa yang sama, kesan sosio-ekonominya turut akan dialami kerana Indonesia menanggung lebih banyak hutang kebelakangan ini dan ia akan mengambil masa selama beberapa tahun lagi untuk pulih daripada sekatan-sekatan ekonomi yang dikuatkuasakan sekarang.

Hutang negara Indonesia bertambah dari S$545 bilion pada 2019 kepada $560 bilion pada Julai tahun ini, menurut Bank Indonesia.

Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati berkata pada awal Julai bahawa adalah pinjaman adalah satu kaedah untuk 'menyelamatkan' rakyat dan ekonomi Indonesia.

Menurut Pengerusi Persatuan Ekonomi Kesihatan Indonesia (InaHEA) Profesor Hasbullah Thabrany, beban hutang yang kian meningkat di tengah-tengah keadaan yang sangat mencabar sekarang ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Hutang negara lambat laun boleh dilangsaikan dengan pungutan cukai meskipun pada tempoh yang lebih lama, iaitu kira-kira 25 tahun, kata Prof Thabrany.

MENGENAI PENULIS:

Kiki Siregar adalah Koresponden Kanan Biro Digital CNA di Jakarta, Indonesia yang membuat liputan mengenai perkembangan politik, dasar luar negara, alam sekitar dan ekonomi Indonesia. (Gambar: CNA)

Kiki Siregar adalah Koresponden Kanan Biro Digital CNA di Jakarta, Indonesia yang membuat liputan mengenai perkembangan politik, dasar luar negara, alam sekitar dan ekonomi Indonesia. 

Sumber : CNA/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan