Adly calon Ketua Menteri Melaka PH: Anwar

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya parti berkenaan mendapat mandat rakyat sekali gus memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan 'Maju Bersama Harapan' di sini pada Rabu.

Anwar berkata, ketetapan itu mengambil kira prestasi Adly selama 22 bulan ketika memimpin kerajaan negeri pada era PH.

"Kita mahu tonjolkan satu contoh yang pernah memimpin PH, dan naratif kita (tentang calon ketua menteri) adalah konsisten untuk mengembalikan mandat PH.

"Maka dengan itu muafakat yang dicapai kepimpinan PH adalah menamakan Adly sebagai calon Ketua Menteri Melaka. Insya-ALLAH kita akan angkat beliau jika PH memenangi PRN ini," katanya.

Anwar turut menjangkakan Melaka berisiko berdepan ketidakstabilan politik sekiranya BN atau Perikatan Nasional (PH) memenangi PRN Melaka dengan adanya dua ketua menteri yang dikemukakan mereka.

Justeru ketetapan Adly sebagai ketua menteri penting dan seluruh jentera PH akan bekerjasama memastikan kemenangan berpihak kepada PH.

"Sebagai satu pasukan yang utuh, kami akan turun bersama tokoh-tokoh parti komponen PH di Melaka, dan ini akan memberi signal (isyarat) jelas bahawa PH adalah satu-satunya parti yang tidak berkecai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama turut menyatakan keyakinannya bahawa PH mampu membentuk kerajaan negeri tanpa BN dan PN.

“Kita akan cuba dapatkan kekuatan yang 'solid' (padu) supaya tiada lagi gangguan pihak-pihak terentu. Semua (parti) akan bekerja untuk memenangkan 28 calon PH,"katanya.

Adly yang merupakan Pengerusi PH negeri bertanding mempertahankan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada PRN Melaka.