[VIDEO] Keputusan pemilihan UMNO diketahui tengah malam ini

Ahmad (kiri) membuang undi di Dewan Jubli Intan Pontian pada Sabtu.
Ahmad (kiri) membuang undi di Dewan Jubli Intan Pontian pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Proses pemilihan melibatkan 189 bahagian UMNO di seluruh negara diharap berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada keseluruhan 191 bahagian UMNO, hanya dua bahagian UMNO tidak melaksanakan pemilihan iaitu bahagian Tanah Merah, Kelantan dan bahagian Kota Kinabalu, Sabah kerana digantung.

Menurutnya, proses pengiraan dan keputusan pengundian bagi kesemua jawatan di peringkat pusat dan bahagian diharap selesai pada sebelah malam bagi membolehkan keputusan diketahui pada tengah malam ini.

"Proses persidangan sayap Pemuda, Puteri dan Wanita pada minggu lalu berjalan lancar dan hanya 20 bantahan ketidakaturan yang diterima Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), ia meliputi kurang tiga peratus.

"Ini bermakna 97 peratus lagi berjalan lancar, saya kira proses pemilihan itu 'A'.

"Oleh itu, ia menunjukkan demokrasi di dalam UMNO bertambah subur dengan semua ahli-ahli akan membuat keputusan bagi memilih barisan kepimpinan bagi tempoh 2023 hingga 2026," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai mengundi bagi UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pada Sabtu.

Seramai 690 orang perwakilan dari 117 cawangan dalam UMNO Bahagian Pontian hadir pada persidangan perwakilan dan pemilihan bermula jam 9 pagi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pontian bertanding bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian yang kini disandang oleh Datuk Seri Hasni Mohammad.

Hasni (kiri) membuang undi di Dewan Jubli Intan Pontian pada Sabtu.
Hasni (kiri) membuang undi di Dewan Jubli Intan Pontian pada Sabtu.

Tambah Ahmad, dalam apa juga pertandingan akan melibatkan yang menang dan kalah, namun berharap semua dapat menerimanya dengan hati terbuka kerana proses pemilihan telah dilakukan.

“Yang menang tidak menang semua, begitu juga dengan kalah juga tidak akan dipinggirkan dan boleh diberikan ruang bagi terus untuk berbakti pada ruang lingkup yang lain,” katanya.

Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, turut bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO.