Selangor ketuai tujuh pasukan ke suku akhir

Selangor mara suku akhir dengan status juara Kumpulan C Piala Emas Raja-Raja 2022.
Selangor mara suku akhir dengan status juara Kumpulan C Piala Emas Raja-Raja 2022.
A
A
A

JUARA 13 kali, Selangor mengesahkan slot suku akhir Piala Emas Raja-Raja 2022, selepas menewaskan PDRM, 2-1 dalam aksi peringkat Kumpulan C.

Pada aksi di Padang Pulapol, Mustakim Mustapha muncul wira Gergasi Merah apabila dua jaringan pada minit 21' dan 92' sudah cukup memadam penyamaan Akif Iqraiz Zuhairi minit ke-58' sebelum itu.

Bagaimanapun kekalahan itu tidak menjejaskan peluang PDRM, naib juara edisi 2016 untuk mengiringi Selangor ke suku akhir sebagai pasukan kedua terbaik kumpulan.

Sementara itu, juara Piala Agong, Kuala Lumpur akhirnya melakar kemenangan pertama selepas mengatasi pasukan tercorot MySPRM-ACe10, 3-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Gol Kuala Lumpur dihasilkan Zikry Hafis (52'), Amreel Iqbal (79') dan Suhaimi Abu (93'), manakala sagu hati pelawat dijaringkan Amierul Ismail (58') serta Mohd Farid (94').

Kelantan juara 12 kali turut mengesahkan slot kalah mati setelah menjuarai Kumpulan B selepas mengatasi Bomba Malaysia, 2-1 di Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu.

Dua gol dijelmakan Abd Halim Gazali (6') dan Adam Danial (11') sudah cukup mengenepikan jaringan Awangku Mohd (79'), yang sebelum itu berstatus pendahulu kumpulan.

Bomba Malaysia yang melakukan penampilan sulung dalam edisi ke-100, juga layak ke pusingan kalah mati.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jakim Terengganu yang masih berusaha memburu kemenangan pertama akhirnya melabuh kempen dengan menewaskan Pahang 4-1 di Stadium UNITEN.

Gol Terengganu dihasilkan Farid Ashraf (11'), Mohd Azamuddin (28'), (81') dan Badrul Amin (79'), manakala gol saguhati Pahang dijaringkan Iman Syakin (35').

Pulau Pinang, juara sembilan kali turut mara dengan status naib juara Kumpulan D, setelah mengatasi Perak 2-0 dalam perlawanan berintensiti tinggi di Stadium Bandaraya.

Turut sama layak dari kumpulan sama juara lima kali Perlis yang mengikat Kedah 3-3 di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia Sintok,

untuk berstatus juara kumpulan.

Derbi Naning di Stadium Hang Tuah pula menyaksikan kemenangan berpihak Melaka yang mengakhiri cabaran Negeri Sembilan ASJ Teguh, 2-1, sekali gus mara ke slot lapan terbaik.

Dua gol naib juara dua kali itu dijaringkan Muhammad Shamerul (22'), Hafiz Jaafar (65') manakala saguhati pelawat dihasilkan Mohd Mutadza (47').

Juara tiga kali, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga mengesahkan kemaraan berstatus naib juara selepas seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan pasukan tercorot TNB Kilat di Stadium MINDEF.