Maskot beruang sambut murid Taman Uda

Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad (empat kanan) beramah mesra dengan murid sempena hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda, di sini, pada Ahad.
Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad (empat kanan) beramah mesra dengan murid sempena hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda, di sini, pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kemunculan maskot beruang menyambut kehadiran murid menggamit suasana ceria hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda, di sini, pada Ahad.

Kehadiran murid di sekolah bagi memulakan sesi persekolahan Kumpulan A itu juga disambut oleh guru dengan murid turut diberikan saguhati sebagai pembakar semangat memulakan persekolahan mereka.

Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad berkata, seramai 334,426 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan bagi negeri Kumpulan A di 752 sekolah rendah dan menengah di Kedah.

Rozaini berkata, daripada jumlah itu, 188,362 adalah murid sekolah rendah dan 146,064 lagi adalah pelajar sekolah menengah.

Katanya, seramai 30,613 murid Tahun 1 memulakan alam persekolahan dari keseluruhan 188,362 murid sekolah rendah,manakala 29,240 pelajar Tingkatan 1 dari seramai 146,064 bagi sekolah menengah.

"Pada minggu pertama ini, ibu bapa murid turut dibenarkan untuk berada di sekolah bagi melihat perjalanan sesi persekolahan dan memantau anak-anak mereka terutamanya murid Tahun 1.

"Minggu pertama persekolahan turut dimanfaatkan dengan perlaksanaan program ataupun aktiviti menyeronokkan, yang mana berbanding sebelum ini apabila hari pertama terus dimulakan dengan pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media sempena hari pertama persekolahan di SK Taman Uda, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Guru Besar SK Taman Uda, Ahmad Zuber Tajuddin.

Dalam perkembangan sama, Rozaini berkata seramai 30,468 guru bertugas di sekolah rendah dan menengah bagi sesi persekolahan 2023/2023 ini.

"Daripada jumlah itu, 176 adalah merupakan guru baharu yang berkhidmat di Kedah dengan 149 bagi sekolah Menengah dan 27 guru lagi bagi sekolah Rendah.

"Banyak guru-guru opsyen Bahasa Inggeris kali ini dan kita percaya dengan kehadiran mereka ini, ia dapat membantu sekolah yang mengalami kekurangan guru opsyen mata pelajaran berkenaan sebelum ini,"katanya.

Beliau menambah, kehadiran guru berkenaan dilihat mampu membantu kejayaan murid-murid sekolah rendah dan menengah untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik.

Rozaini menyatakan, beliau yakin kehadiran guru-guru baharu di Kedah selepas ini juga akan bertambah.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Farhan Mohd Noorulhadi, 40, berkata, anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Danial, 7, sememangnya amat teruja untuk memulakan hari pertama persekolahan itu.

Menurutnya, Muhammad Rayyan bangun seawal 6 pagi untuk bersiap dan kelihatan bersemangat untuk hadir ke sekolah.

“Memang tiada masalah untuk anak bangun awal memandangkan dia telah dihantar ke tadika sejak berusia empat tahun lagi.

"Malah, dia gembira kerana sudah mempunyai ramai kawan-kawan baharu selepas pulang dari hari orientasi baru-baru ini," katanya.

Seorang lagi waris, Siti Mozalina Morad, 44, dari Mergong berkata, anaknya, Muhammad Adib Wafiy Syaiful Khairy, 7, tidur lewat pada malam Sabtu,namun teruja untuk hadir ke sekolah bersama dengan abangnya yang merupakan murid Tahun 4 di sekolah yang sama.