Politik

UMNO, Pas `berputih mata’ andai gagal urus persepsi

KOMENTAR

KESIAN menteri ini. Apa yang dibuat ada saja yang tak kena.

Sejak dikecam kerana menaja pertandingan tiktok zaman orang risau Covid-19 ini, pergerakannya selepas itu sentiasa jadi perhatian netizen. Lagi-lagi dari blok pembangkang.

Pergi ke sebuah pusat perubatan pakar di Sungai Buloh kelmarin nak lihat proses uji sampel sarungkan PPE (pakaian perlindungan peribadi) pun salah. Kata depa, mengapa dibazirkan PPE kepada menteri terbabit. Cukup dia pergi pakai mask biasa dan keep 6 feet (jaga jarak 6 kaki).

PAKAI MASK SAJA PUN DIBALUN?

Tapi katakan kalau Noraini cuma mask biasa, pun pasti salah juga dia ini. Kenapa anda tak pakai PPE?

Ah! sana salah, sini salah. Itu belum lagi gelaran yang diulang-ulang ‘menteri air suam, menteri teletubbies, menteri doraemon, menteri MEWA lah dan bagai.

Sebenarnya benda yang sama saja diperhati rakyat pada kerajaan sebelum ini.

Tak dapat dinafikan Pakatan Harapan atau lebih spesifik lagi menteri-menteri yang pegang portfolio tika itu mempunyai masalah komunikasi bukan sahaja dalam kalangan sesama sendiri tetapi lebih serius komunikasi dengan rakyat.

Bukannya menteri tidak berkomunikasi dengan rakyat tetapi kaedah berkomunikasi terutama sekali kandungan makumat yang disampaikan kepada rakyat tidak begitu strategik. Apabila ini berlaku, maklumat yang disalurkan sama ada akan disalah tafsir atau pun dengan begitu mudah dimanipulasikan.

BELAJAR DARI FLIP-FLOP DULU

Apabila Menteri Belia dan Sukan waktu itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan kerajaan berhasrat memperkenalkan khidmat e-hailing motosikal demi membuka peluang pekerjaan kepada anak muda tetapi pada masa sama mengaitkan khidmat syarikat Go-Jek dari Indonesia, ini lantas dianggap pengumuman yang tidak strategik kerana membuka peluang untuk dikritik secara negatif.

Setelah cadangan tersebut dikritik dengan begitu hebat, barulah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi penjelasan bahawa kebenaran hanya diberi untuk memperkenalkan khidmat pengangkutan motosikal. Keputusan pula belum dibuat mengenai syarikat yang dibenarkan mengendalikan khidmat tersebut.

Tetapi sayang seribu kali sayang, persepsi negatif terhadap khidmat e-hailing motosikal telah mengaburi manfaat ekonomi yang bakal terbit kerana kesilapan berkomunikasi dengan strategik ketika pengumuman itu dilakukan buat pertama kali.

MAT SABU PUN TERKENA

Apabila Menteri Pertahanan Mohamad Sabu membuat kenyataan bahawa Malaysia dan China mempunyai sempadan bersama di satu persidangan antarabangsa, ia menimbulkan banyak kekeliruan apa yang dimaksudkan beliau. Kenyataan Mohamad itu ada kaitan dengan tuntutan bertindih di Laut China Selatan dan boleh diperjelaskan dengan mudah maksud sebenar beliau tetapi ini tidak dilakukan oleh penasihat atau pembantu khas menteri tersebut.

Begitu jua apabila Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengutarakan cadangan bahawa kerajaan akan membuat pertimbangan perolehan pesawat tempur dari China sebagai tindak balas sekatan minyak sawit yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU), media asing telah memperbesarkan isu sampingan. Dan bukannya isu betapa tidak adilnya pendirian EU mengenai minyak sawit.

Timbul persepsi bahawa dasar pertahanan Malaysia akan beralih ke China kerana lazimnya perolehan aset ketenteraan dari negara kuasa besar tertentu akan memberi gambaran strategi pertahanan negara yang membuat perolehan tersebut.

Contoh paling mudah ialah setiap kali Taiwan mendapat bekalan senjata dari Amerika Syarikat (AS), China sudah pasti akan membantah kerana isyarat tersirat perolehan senjata tersebut ialah AS akan melindungi Taiwan dari pencerobohan China jika perang tercetus.

Betapa hebatnya percaturan persepsi, Dr. Mahathir terpaksa menongkah berita tersebut dengan mengumumkan Malaysia tidak akan membuat perolehan pesawat tempur yang baharu memandangkan aset sedia adalah memadai dan dalam keadaan baik.

KISAH LAWATAN TUN M KE PAKISTAN

Tetapi paling hebat percaturan persepsi berlaku ekoran lawatan Dr. Mahathir ke Pakistan tahun lepas. Akhbar The News International yang berpangkalan di Karachi telah melaporkan kerajaan India tidak membenarkan pesawat yang membawa Dr. Mahathir melalui ruang udara India untuk ke Islamabad yang memaksa pesawat tersebut membuat perjalanan yang lebih jauh.

Jika diteliti pelaporan akhbar tersebut, seolah-olah Perdana Menteri India Narendra Modi sengaja tidak memberi kebenaran laluan ruang udara India dengan menjadikan Malaysia sebagai kambing hitam dalam persengketaan kedua-dua negara jiran ini akibat dari isu Kashmir.

Percaturan spekulasi seperti ini bukan sahaja membuatkan rakyat Malaysia tertanya-tanya tetapi juga menjadi kemusykilan masyarakat antarabangsa kerana dalam dunia diplomasi ini adalah satu isu yang berat.

Tetapi mengikut versi cerita dari New Delhi pula, tiada faedah pihak berkuasa penerbangan awam India (DGCA) memberi kebenaran laluan kerana Pakistan pada ketika itu mengenakan arahan terhadap semua penerbangan dari ruang udara India ditegah memasuki Pakistan.

Jika ditinjau kenyataan dari New Delhi maka ada kebenaran laporan akhbar The News International bahawa kebenaran tidak diberi kepada pesawat yang membawa Dr. Mahathir cuma yang berbeza dari segi mengapa kebenaran tersebut disekat.

Tetapi haikatnya Islamabad dan New Delhi masing-masing mempunyai agenda tersendiri dan yang menjadi kambing hitam ialah Kuala Lumpur kerana Malaysia tidak terkait dengan persengketaan Kashmir.

IKTIBAR BUAT MENTERI PERIKATAN NASIONAL

Moralnya di sini – bukan sahaja menteri perlu berkomunikasi secara strategik dengan rakyat tetapi perlu juga lakukan perkara sama sesama menteri supaya tidak berlaku percanggahan.

Apabila pengumuman yang berkait dasar hendak dibuat oleh menteri, kajian latar belakang mengenai perkara tersebut mesti sudah selesai dilakukan dan paling penting mesti dibuat melalui saluran dan kementerian yang betul.

Menjadi tanggungjawab pembantu khas menteri seperti, setiausaha politik, pegawai khas atau setiausaha akhbar membuat penjelasan dengan pantas apabila timbul kekeliruan dari kenyataan menteri.

Tidak perlu tunggu sehingga ia menjadi tular sebelum tindakan diambil. Ini demi mengelak tanggapan wujudnya unsur sabotaj.

Rumusannya – menteri-menteri kerajaan campuran yang dikenali Perikatan Nasional harus berwaspada dengan permainan persepsi.

Jangan nanti dek perilaku sebilangan menteri yang `kurang cerdik’, akibatnya Barisan Nasional atau lebih tepat lagi UMNO `berputih mata’ dalam PRU-15. – SM

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button