Asrama pekerja Top Glove Klang dikenakan PKPD bermula esok | DagangNews Skip to main content

Asrama pekerja Top Glove Klang dikenakan PKPD bermula esok

PKPD Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Asrama yang menempatkan para pekerja syarikat pengeluar sarung tangan terkenal, Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) di Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 30 November 2020.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil berikutan peningkatan kes positif yang direkodkan iaitu sebanyak 215 kes hingga 15 November.

"Sidang khas hari ini juga mendengar pembentangan daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengenai peningkatan kes positif COVID-19 di asrama pekerja Top Glove, Klang, Selangor.

"Di atas nasihat dan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di asrama pekerja Top Glove Klang bermula esok, 17 Nov 2020 hingga 30 Nov 2020.

"Pelaksanaan PKPD ini membabitkan kawasan asrama lelaki serta Jalan Abadi 1A/KU8, dan asrama pekerja wanita serta Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8," katanya dalam sidang media harian yang dijalankan hari ini.

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob 

 

Tambah beliau, kawasan yang dikenakan PKPD itu melibatkan seramai 13,190 pekerja dan hampir 1,200 penduduk di kawasan berkenaan.

Pelaksanaan PKPD itu membolehkan KKM terus melaksanakan saringan bersasar kepada pekerja dan penduduk di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihak Top Glove juga perlu membuat saringan sepenuhnya kepada semua pekerja di kilang dan asrama-asrama yang membekalkan pekerja kepada kilang berkenaan.

"Untuk kawasan itu KKM akan membuat saringan kepada semua pekerja yang terlibat.

"Manakala kita minta Top Glove melakukan saringan kepada semua pekerja kilang, sanitasi kilang dan juga membuat saringan kepada asrama yang membekalkan pekerja kepada kilang tersebut," jelasnya lagi. - DagangNews.com