Politik

SPR edar 20,990 kad mengundi PRK Chini

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menghantar kad pengundi kepada 20,990 pengundi dalam usaha menggalak dan memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Chini, Pahang.

Edaran kad pengundi itu melibatkan 20,972 pengundi biasa dan 18 orang pengundi awal.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata kad pengundi berkenaan mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi melibatkan hari mengundi awal pada 30 Jun dan hari mengundi biasa pada 4 Julai ini.

“Pada kad mengundi kali ini, kita meletakkan maklumat berkenaan masa keluar mengundi yang digalakkan.

“Kita harap orang ramai dapat patuh pada masa yang diberikan untuk mengelak pengundi berkumpul dan memastikan penjarakan sosial dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, pengundi yang menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan dinyatakan dalam kad itu.

Jelasnya, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

“Pengundi yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan,” ujarnya.

Tambah beliau, semakan boleh dibuat melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN) hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR 03-88927018. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button