UMNO mungkin syor darurat di Melaka

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR – UMNO tidak menolak kemungkinan akan mengesyorkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi menghalang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka daripada diadakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau yakin perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat.

“Itu tentu tanggungjawab Perdana Menteri, terpulanglah kepada beliau. Esok (Jumaat) ada mesyuarat kabinet, mungkin perkara itu akan dikemukakan.

“Tunggulah keputusan daripada masa ke masa, saya jangka perkara yang agak besar ini tentu akan diputuskan dalam mesyuarat kabinet,” katanya ketika sidang akhbar di Bilik Media Bangunan Parlimen pada Khamis.

Beliau menjawab soalan pemberita yang bertanya adakah UMNO akan mencadangkan kepada Perdana Menteri berhubung pengisytiharan darurat di Melaka berikutan terdapat kebimbangan penularan jangkitan Covid-19 jika PRN diadakan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pendirian UMNO sama ada akan meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sekiranya PRN Melaka diadakan, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan minggu depan.

“Pada 14 Oktober, kita akan adakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), notis telah diberikan kepada ahli-ahli MKT.

“Saya rasa tentunya akan dibincangkan perkara itu (kerjasama parti). Ini mesyuarat bulanan yang dipercepatkan untuk kita muktamadkan apa-apa perkara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan susulan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang hilang majoriti sokongan akibat tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepimpinannya.

Mengikut Perlembagaan, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

ARTIKEL BERKAITAN:15 bekas ADUN Melaka cadang menghadap Agong

ARTIKEL BERKAITAN:Pas sedia hadapi PRN Melaka

ARTIKEL BERKAITAN:Individu di sebalik jatuhnya dua kerajaan Melaka

ARTIKEL BERKAITAN:Ab Rauf akui ada bertemu pimpinan DAP