fbpx

Laman Facebook Polis Johor Jadi Perhatian Netizen Gara-gara Foto Kasut Nike Air Jordan X Dior

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menerusi satu sidang media telah mengumumkan penangkapan 3 orang individu termasuk seorang usahawan berpangkat Datuk kerana dipercayai terbabit penipuan pelaburan yang tidak wujud di Taman Sri Kluang, Kluang dengan nilai rampasan berjumlah RM 4.6 juta pada selasa lalu.

Menerusi laporan Harian Metro, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan disyaki memperdayakan orang ramai untuk melabur dalam pertukaran mata wang asing Forex dan Kripto dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa yang singkat.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak dua hingga tiga tahun lalu, selain sasaran pelabur adalah di seluruh Malaysia terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing seperti China, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain.

“Sepasukan polis dari Task Force Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah teres dua tingkat itu, kemudiannya menemui wang tunai dan pelbagai barangan antaranya 10 jam tangan mewah bernilai RM250,000, 16 kad kredit dan debit pelbagai bank, 22 kepingan emas bernilai RM45,000 dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.

“Turut dirampas, dua kenderaan jenama Mercedes Benz dan Range Rover, wang tunai berjumlah RM2.17 juta serta wang kertas negara asing dianggarkan berjumlah RM1.4 juta,” katanya pada sidang media di IPK Johor semalam.

Namun orang ramai yang menonton sidang media tersebut lebih tertumpu kepada sepasang kasut sneakers  yang turut dirampas iaitu jenis Nike Air Jordan 1 Low x Dior.

Ini kerana kasut ini bukan seperti kasut-kasut biasa dan agak ‘rare’ kerana hanya dihasilkan dalam kuantiti yang terhad. Malah harganya juga begitu mahal dan dianggarkan diantara RM20,000-RM35,000 bergantung kepada saiz.

Mereka bukan sahaja tertumpu pada foto kasut berkenaan malahan ruang komen pada foto tersebut turut menjadi ‘medan bida’ penggemar kasut.

Menyedari yang foto tersebut menjadi perhatian, akaun Facebook rasmi Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut sama memeriahkan ruangan komen di gambar tersebut dengan menjawab kasut itu adalah barang kes dan bukan untuk dijual.

“Tamat sebab barang kes bukan untuk dijual,” tulisnya . Meskipun responnya ringkas dan diserta emoji ketawa, ianya cukup untuk menegaskan bahawa kasut berkenaan bukan untuk dijual.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.