[VIDEO] Khaled Nordin akui UMNO bukan maksum, banyak kelemahan

UMNO tetap lestari kerana orang Melayu. Gambar kecil: Khaled Nordin
UMNO tetap lestari kerana orang Melayu. Gambar kecil: Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui pemimpin parti itu bukan maksum dan banyak kelemahan.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO tidak akan menafikan hakikat atau bersikap apologetik dalam realiti tersebut.

"Kami banyak kelemahan. Saya sedar dan akuinya. Ada yang sohor, ada yang khilaf. Namun masa beredar, zaman berubah dan pemimpin juga begitu.

"Tetapi UMNO tetap lestari kerana orang Melayu menghargai bahawa adalah tidak adil disebabkan beberapa orang pemimpin parti terpalit kontroversi, maka segala-galanya tentang UMNO itu korup dan keji," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

Kata bekas Perdana Menteri itu, UMNO sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara 'total' dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi, malah pucuk pimpinan UMNO sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbilion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur UMNO itu sendiri.

Mohamed Khaled berkata, UMNO kini sudah bergerak ke depan dari masa silam termasuk kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Tun (Dr Mahathir), kami memilih untuk bersetia dengan parti dan perjuangan nasionalisme Melayu dan modernisme Malaysia. Kami sedar, hujan panas permainan hari. Susah senang permainan hidup. Apatah lagi parti besar seperti UMNO. Pasti ada pancaroba dan turun naiknya.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya Tun memilih untuk terus mengambil tahu dan kisah tentang UMNO, kami tidak boleh menghalang ingatan dan sentimentalisme UMNO yang masih menebal dalam hati Tun," katanya.

Menurut beliau, kenyataan terbaharu Dr Mahathir tentang UMNO menunjukkan bahawa beliau terus dihantui UMNO pada setiap saat dan ketika, jelas bahawa negarawan itu sebenarnya tidak pernah ‘move on’ daripada parti tersebut.

Katanya, tindakan melabelkan UMNO dengan pelbagai gelaran dan penghinaan sebenarnya dilakukan dengan satu motif yang jelas iaitu menutup kegagalan ketara beliau dalam mewujudkan alternatif kepada UMNO.

Sebagai contoh katanya, eksperimen Dr Mahathir dengan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti yang lebih baik, lebih bersih dan lebih Melayu dari UMNO nyata gagal.

"Mereka yang beliau percayai dan yakini sebagai tidak korup, berjiwa murni dan bersih, nyata lebih ghairah dengan kuasa dan kedudukan sehingga menolak beliau sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu," katanya.