Menang tender, IOI Properties bakal ambil alih tanah di Singapura bernilai RM4.68 bilion  | DagangNews Skip to main content

Menang tender, IOI Properties bakal ambil alih tanah di Singapura bernilai RM4.68 bilion 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - IOI Properties Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Boulevard View Pte Ltd (BVPL) telah memenangi sebuah tender untuk mengambil alih sebidang tanah bernilai kira-kira RM4.68 bilion yang terletak di Marina View, Singapura.

 

Tender tanah yang berstatus pegangan pajakan selama 99 tahun dan berukuran 7,817.6 meter persegi (sqm) itu dianugerahkan oleh Urban Development Authority atau Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang merupakan ejen mewakili kerajaan Singapura.

 

Menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia, pengambilalihan tanah itu akan dilunaskan menerusi wang tunai yang dijangka dibiayai melalui pinjaman bank dan/atau dana dalaman.

 

“Tanah ini menawarkan peluang menarik dan berdaya maju kepada kumpulan untuk melaksanakan pembangunan bercampur terdiri daripada elemen kediaman, hotel dan komersial di kawasan Marina Bay, di mana merupakan perniagaan atau kawasan kewangan utama Singapura dengan pembangunan komersial dan pejabat yang kukuh selain tawaran pelbagai budaya dan hiburan. 

 

“Cadangan pembangunan unit perumahan dan sebuah hotel di atas tanah itu dijangka dapat memenuhi permintaan tertunggak bagi peluang kehidupan bandar di tengah-tengah Singapura memandangkan pelancaran perumahan terakhir di kawasan sekitar adalah Marina One Residences pada 2014.

 

“Dalam pada itu, cadangan pembangunan hotel itu juga dijangka melengkapkan lagi pembangunan kumpulan sedia ada di Singapura dan menjadi nilai tambah kepada portfolio pelaburan hartanahnya,” jelas kumpulan.

 

Difahamkan, IOI Properties menjadi pembida tunggal bagi tender tanah tersebut.

 

Peta
PETA tanah di Marina View yang bakal diambil alih oleh anak syarikat IOI Properties

 

Setelah tender tanah itu telah diserahkan, anak syarikat kumpulan telah membayar deposit sebanyak RM325.6 juta yang mewakili 7% daripada nilai pembelian keseluruhan kepada URA.

 

Sementara, sebanyak RM1.17 bilion atau mewakili 25% daripada nilai pengambilalihan tanah itu pula, termasuk deposit serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dibayar kepada Pesuruhjaya Tanah, Lembaga Tanah Singapura dalam tempoh 28 hari daripada penerimaan tender daripada URA.

 

Selebihnya atau kira-kira RM3.51 juta perlu dibayar dalam tempoh 90 hari kepada Pesuruhjaya Tanah, Lembaga Tanah Singapura selepas penerimaan tender daripada URA.

 

“BVPL juga perlu membayar kira-kira RM3.78 juta termasuk GST bagi penyediaan pencawang elektrik di Marina Bay seperti yang diperuntukkan dalam syarat-syarat teknikal tender, dalam tempoh 90 hari sejak penerimaan tender tersebut,” kata IOI Properties lanjut. - DagangNews.com