[VIDEO] Malaysia tak akan alami kegawatan ekonomi tahun ini

Ahmad Maslan - Foto Bernama
Ahmad Maslan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan memberikan jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini, meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia berdasarkan takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi iaitu secara teknikalnya, apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.

Menurutnya, berdasarkan kepada prestasi pertumbuhan ekonomi pada 2022, pada tahun ini, kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus.

"Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 sebagai 4.4 peratus dan 4 peratus.

"Jangkaan ini adalah selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global yang diunjur lebih perlahan pada tahun ini," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang bertanyakan pelan kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.

Ahli Parlimen Pontian itu menambah, kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat.

Pada masa sama, katanya, menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik dengan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal.

"Untuk tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.

"Contohnya, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) membabitkan kos hampir RM8 bilion dijangka manfaatkan hampir 9 juta rakyat Malaysia dengan nilai maksimum bantuan sehingga RM3,100.

"Di bawah agenda Payung Rahmah, kerajaan membantu mengurangkan beban kos sara hidup melalui Program Menu Rahmah serta Jualan Rahmah yang menawarkan harga 30 peratus jauh lebih murah berbanding harga di pasaran," katanya.

Jelas Ahmad, bagi sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kerajaan turut menyediakan pelbagai geran, insentif, kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan dengan peruntukan hampir RM40 bilion dalam usaha membantu kumpulan PMKS kembali bangkit dan berdaya saing setelah terkesan dengan Covid-19.

Kerajaan juga katanya, turut mengurangkan kadar cukai PMKS iaitu daripada 17 peratus kepada 15 peratus bagi 150,000 pertama pendapatan bercukai.

"Golongan M40 juga dibantu melalui pengurangan dua mata peratusan bagi setiap banjaran pendapatan bercukai antara RM35,001 hingga RM100,000.

"Pengurangan ini dijangka dapat meningkatkan pendapatan boleh guna kumpulan M40 sehingga RM1,300 setahun," jelasnya.